Welcom Sweetie !!!


Flying without Wings ^(O.O)^

23 January 2014

Fungsi-fungsi Komunikasi


Assalamualaikum
Ini Assignment subjek Komunikasi SppJ semester 2.. haha not too good and maybe not too bad too. So, ambil lah jika bermanfaat~~ :)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
PENGENALAN
Komunikasi mula dikaji secara saintifik bermula pada tahun 1920-an apabila Walter Lippman menjalankan kajian pendapat awam. Pada tahun 1940-an, terdapat banyak kajian yang berasaskan kaedah saintifik seperti yang dilakukan oleh Carl Hovland tentang perubahan sikap, Kurt Lewin tentang ciri-ciri dan interaksi kumpulan, dan Clende Shannon pula mengemukakan teori maklumat. Usaha Charles Osgood yang cuba mencari alat ukuran kefahaman makna sesuatu utusan pula terdapat pada tahun 1950-an.
            Kajian seterusnya dilakukan oleh pengkaji-pengkaji daripada berbagai-bagai bidang yang berminat dalam aspek komunikasi antara manusia. Pengkaji-pengkaji komunikasi yang datang daripada pelbagai disiplin ilmu mengkaji komunikasi dari sudut pandangan pengkhususan ilmu mereka. Ahli sains politik berminat untuk mengkaji bagaimana komunikasi boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai mengundi sesuatu parti politik. Ahli sosiologi berminat untuk mengkaji bagaimana komunikasi boleh digunakan untuk mengubah sistem nilai sesebuah masyarakat. Ahli ekonomi pula berminat menggunakan kaedah komunikasi untuk menjual barangan kepada pengguna. Dari masa ke semasa,teori dan kaedah penyelidikan yang pada mulanya dipinjam daripada bidang-bidang lain untuk dijadikan asas kajian komunikasi, lama-kelamaan telah mantap untuk muncul sebagai teori-teori komunikasi yang tersendiri.
            Komunikasi antara manusia merupakan satu daripada unsur-unsur penting dalam kehidupan manusia. Manusia perlu berkomunikasi untuk melahirkan pendapat dan perasaan kepada orang lain. Manusia tidak dapat hidup bersendirian tanpa berkomunikasi dengan orang lain. Tanpa kebolehan untuk menyampaikan pendapat dan perasaan kepada orang lain, manusia mungkin merasakan kekurangan dalam hidupnya.
            Komunikasi berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu communication. Istilah Inggeris ini pula berasal dari perkataan Latin iaitu “communcare” yang bermaksud “to make common” atau mewujudkan persamaan. Berasaskan takrifan asas komunikasi yang sedemikian pengkaji-pengkaji komunikasi telah memberi takrifan berdasarkan maksud dan tujuan penyelidikan yang mereka lakukan. Penyelidikan komunikasi ini telah dikendalikan oleh pengkaji-pengkaji dari pelbagai bidang. Oleh itu, takrifan mereka terhadap komunikasi juga dipengaruhi oleh bidang yang pelbagai.
             Menurut France E.X Dance, terdapat 98 takrifan komunikasi, tetapi ianya dibahagikan kepada 4 kategori iaitu takrifan yang menekankan penyebaran atau pengiriman, takrifan yang menekankan perkongsian makna, takrifan yang menekankan pembujukan, dan seterusnya, takrifan yang menekankan aspek tingkah laku. Takrifan yang menekankan penyebaran telah dinyatakan antaranya ialah oleh Theodorson &Theodorson (1969), “komunikasi adalah pengiriman maklumat, pemikiran, sikap atau emosi daripada seorang individu atau kumpulan kepada individu atau kumpulan yang lain dengan menggunakan simbol”.
            Wilbur Schram (1971) pula menyatakan takrifan, “komunikasi boleh dianggap sebagai satu perkongsian orientasi terhadap satu set isyarat maklumat. Takrifan ini menjelaskan takrifan yang menekankan perkongsian makna. Seterusnya, ialah takrifan yang menekankan pembujukan. Carl Holand (1953), mentakrifkan “komunikasi sebagai proses penyampaian rangsangan dengan tujuan untuk menukar tingkah laku individu lain”. Charles Osgood (1954) pula menyatakan bahawa komunikasi berlaku apabila satu sistem atau sumber cuba mempengaruhi sasarannya, dengan memanipulasikan beberapa simbol alternative, yang boleh disampaikan melalui saluran yang mennghubungkan mereka.
Selanjutnya ialah takrifan yang menekankan aspek tingkah laku. Komunikasi dianggap sebagai satu tingkah laku oleh Carter (1973). Ini bermaksud apabila individu berkomunikasi, ia berusaha untuk mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapinya supaya ia mempunyai satu gambaran yang lebih tepat tentang alam persekitaran yang perlu dihadapi.

KOMUNIKASI MEMBERITAHU
Fungsi dalam komunikasi terdapat 4 jenis iaitu fungsi memberitahu, mendidik, membujuk dan  menghibur. Fungsi yang pertama yang ingin kami terangkan mengenai fungsi memberitahu. Fungsi ini merupakan fungsi yang terawal digunakan oleh manusia.
Pada hari ini sumber maklumat dengan mudah dapat diperolehi menerusi internet yang juga bertujuan memberitahu. Berita yang disampaikan di akhbar, radio dan televisyen bertujuan memberitahu khalayak tentang perkembangan semasa. Fungsi ini boleh dikatakan antara fungsi komunikasi yang sering digunakan dalam kehidupan manusia. Fungsi ini bertujuan memberitahu orang lain tentang sesuatu perkara yang dirasakan oleh penyampai perlu diketahui oleh orang lain. Terdapat banyak  contoh komunikasi yang menjalankan fungsi memberitahu. Contohnya, papan tanda seperti “DILARANG MEROKOK”, “SILA BERATUR”, “IKUT KIRI” dan sebagainya. Fungsi memberitahu ini menumpukan perhatian kepada penyampai atau sumber maklumat. Penyampaian mesej bertujuan untuk memberitahu.
Fungsi seperti ini juga dapat menumpukan kepada penyampai atau sumber maklumat. Pengucap berhasrat untuk memberitahu sesuatu maklumat, sesuatu perkara atau fenomena kepada pendengarnya. Di samping itu, pengucap hanya ingin mengubah tahap pengetahuan atau pemahaman pendengarnya, yang dari permulaannya tidak tahu dan kemudiannya akan menjadi tahu sedikit atau ianya akan memahami dengan lebih mendalam akan sesuatu perkara. Ucapan jenis ini juga ada kalanya disebut ucapan pemberitahuan atau pemakluman.
Tujuan penyampai adalah untuk memberitahu, reaksi yang diterima tidak begitu penting. Ianya sering dibuat dengan berulang kali. Terdapat banyak contoh ucapan seperti ini sebagai contoh kuliah, ceramah, syarahan, pembentangan kertas kerja, taklimat dan sebagainya. Ucapan seperti ini terdapat ramai yang akan jadi pendengar dan pemerhati. Ini sekali gus, dapat menyampaikan segala maklumat yang berkaitan dengan ucapan.
Sesungguhnya, maklumat adalah sesuatu yang amat penting dalam memperolehi ilmu dalam kehidupan kita. Setiap orang memerlukan maklumat dalam menguruskan kehidupan seharian. Maklumat penting kerana ia akan membuatkan seseorang itu berfikir. Ini kemudiannya akan mendorong seseorang membuat keputusan tentang sesuatu isu dan akan memungkinkan tindakan diambil. Tanpa maklumat maka sukarlah untuk seseorang membuat keputusan. Sebagai contoh, pesanan-pesanan penyampai dalam rancangan-rancangan di radio yang memberitahu tentang keadaan jalan raya di bandaraya. Seseorang yang dalam perjalanan pulang dari kerja akan berpeluang membuat keputusan untuk mengelak dari terperangkap dalam kesesakan jalan raya tersebut.
            Berdasarkan contoh tadi, komunikasi juga memainkan peranan penting dalam proses mendapatkan maklumat. Melalui proses komunikasi, maklumat disebarkan secara berterusan dan dikongsi bersama oleh penyampai dan penerima untuk membentuk persefahaman. Namun, kita harus memastikan bahawa maklumat yang disampaikan perlu difahami oleh penerima. Jika tidak, ia bukanlah komunikasi yang berkesan.

KOMUNIKASI PENDIDIKAN
Bidang pendidikan tidak boleh berjalan tanpa sokongan dari komunikasi. Dengan ini, pendidikan hanya boleh  berjalan melalui komunikasi. Bagaimanapun  berkemungkinan mendidik, mengajar dan memberi kuliah  kepada masyarakat tanpa berkomunikasi sangat sukar kerana pendidikan memerlukan komunikasi kerana komunikasi sangat penting dengan perkara yang ingin disampaikannya.
Di samping itu, Komunikasi pendidikan berfungsi sebagai memberi keterangan, memberi data atau fakta yang berguna bagi setiap aspek kehidupan manusia. Seterusnya, komunikasi juga berfungsi untuk mendidik masyarakat supaya menuju kearah pencapaian dalam bidang ilmu untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
komunikasi pendidikan merupakan kegiatan untuk mengetahui, melaksanakan, menyelesaikan atau memahami suatu masalah yang dihadapi oleh masyarakat secara umum dan secara khusus. Contohnya, komunikasi pendidikan secara informasi, nilai-nilai, dan norma sosial dari suatu generasi ke generasi lain jika dilakukan melalui ceramah, penerangan, atau dalam bentuk hiburan yang dapat mendidik dengan baik melalui media massa merupakan sebagai komunikasi pendidikan secara umum.
Manakala komunikasi pendidikan informasi, nilai-nilai, dan norma sosial dari suatu generasi ke generasi lain dilakukan melalui secara klasikal di sekolah-sekolah, pengajian tinggi, atau tempat kursus-kursus pengajian merupakan komunikasi pendidikan secara khusus.
Selanjutnya, menurut Harol D. Lasswell Komunikasi Pendidikan merupakan fungsi komunikasi untuk mengumpulkan dan menyebarkan informasi mengenai kejadian dalam suatu lingkungan melalui media massa dan berita.
Bagi pendapat Onong Uchjana Effendi pula menekankan pendidikan itu terjadi  secara berdepan samaada di dalam kelas atau di luar kelas. Hal ini dapat dilihat pada pendapat berikutnya bahwa perbezaan antara komunikasi dan pendidikan terletak pada tujuan yang diharapkan. Dengan ini, tinjauan yang diharapkan itu dapat mengetahui sesuatu perkara sehingga dapat menguasainya.                                                                                                 
Selain itu komuniksi pendidikan dapat ditingkatkan dengan cara mendengar, membaca dan berkomunikasi. Contohnya sekiranya seseorang pelajar itu berasal dari luar Negara kemudian mereka datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran secara tidak langsung mereka perlu belajar cara masyarakat Malaysia berkomunikasi. Bahkan mereka perlu lebih membaca untuk memahami sesuatu bahasa dan dengan cara mendengar juga boleh membuatkan mereka itu lebih peka akan keadaan persekitaran supaya dapat memahami apa yang ingin dipelajarinya.
Komunikasi pendidikan merupakan satu proses penyampaian suatu bahan dari pengajar, guru dan pensyarah dianggap sebagai (penyampai). Manakala kepada para pelajar, murid, Mahasiswa dan Mahasiswi dianggap sebagai (penerima) dimana komunikasi pendidikan harus terjadi secara berdepan atau tatap muka (face to face) dan diantara dua arah yang bertentangan (two way communication).
Hal ini, supaya penerima dapat lebih memahami sesuatu maklumat yang telah disampaikan oleh penyampai dan komunikasi ini tidak akan tercapai jika penerima tidak mengetahuinya. Tujuan penyampai memberikan maklumat kepada penerima agar dapat menambahkan pengetahuan seseorang tentang sesuatu perkara. Kejayaan mendidik ini bergantung  pada sejauh mana seseorang itu merasai bahawa pengetahuannya bertambah hasil daripada pendedahannya terhadap maklumat yang diterima.
Oleh itu, secara keseluruhannya komunikasi pendidikan dapat memberikan informasi kepada masyarakat dengan menghiburkan, mendidik dan mempengaruhi masyarakat supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan lebih baik dan berfikiran waras dalam menghadapi situasi yang lebih mencabar pada era globalisasi ini.
KOMUNIKASI MEMBUJUK
Fungsi ini mula mendapat perhatian pengkaji komunikasi selepas perang dunia pertama iaitu apabila tentera jerman menggunakan komunikasi dalam usaha propagandanya. Tujuan fungsi ini juga adalah untuk mengubah sikap,persepsi dan tingkah laku orang ramai. Pengguna fungsi membujuk ini tidak terhad kepada menyebarkan maklumat tetapi mestilah dapat menembusi perasaan dan emosi seseorang individu itu,atau kumpulan yang menjadi sasaran maklumat itu. Biasanya fakta maklumat yang disampaikan tidak tepat dan sengaja diputarbelitkan.
Komunikasi membujuk ialah terdapat pengucap yang berhasrat untuk mempengaruhi audiens supaya akur atau bersetuju dengan usul atau cadangan yang dikemukakannya. Dengan kata lain,pengucap mahu mengubah audiensnya dari sudut kepercayaan,sikap,atau pun perlakuan. Antara contoh-contoh ucapan yang tergolong dalam jenis ini ialah seperti kempen politik,kempen keselamatan jalan raya, anti-dadah, kempen kebersihan, kempen jurujual, kempen berhenti merokok dan sebagainya.
Di samping itu, dalam kempen beli barangan batan Malaysia,pengucap pada awalnya mahu mengubah kepercayaan audiensnya dari pada tidak percaya kepada percaya dan yakin akan kebaikan kualiti barangan buatan tempatan tersebut. Kemudian pengucap berhasrat pula mengubah sikap audiens dari sikap tidak suka kepada sukakan barangan tersebut. Ada kalanya pengucap bertujuan untuk mengubah ketiga-tiga aspek tadi,iaitu kepercayaan,sikap dan perlakuan audiensnya.
Seterusnya, ada juga pada ketikanya pengucap hanya mahu mengubah satu aspek dalam satu masa. Ini bergantung kepada isu dan juga keadaan psikologi audiensnya. Ucapan jenis ini dikenali juga dengan nama ucapan pembujukan.
Komunikasi juga memainkan peranan yang sangat penting dalam didalam proses pembujukan. Namun pembujukan bukanlah bermakna bahawa dengan menggunakan komunikasi kita dengan mudah dapat memujuk orang lain atau pun orang ramai. Jika dirujuk, melalui buku-buku yang ditulis dalam bidang sosial, kita akan dapati tidak semua orang boleh memujuk atau dipujuk untuk mengubahsikap mreka.
Selain daripada memberitahu, komunikasi juga digunakan untuk menawan hati dan fikiran orang ramai. Kebanyakan contoh pembujukan ini dapat kita lihat melalui iklan-iklan dank lip-klip video yang disebarkan di media. Anda pasti selalu melihat iklan di akhbar dan televisyen serta mendengarnya melalui radio.
Tujuan utama iklan adalah untuk mempengaruhi kita membeli barangan-barangan yang diiklankan. Pembujukan bukan hanya menyebarkan maklumat tetapi mestilah dapat menembusi dan menawan perasaan seta emosi khalayak sasaran mereka. Adakala maklumat sengaja ditambah-tambah bagi mencapai tujuan tersebut. Contohnya,iklan pencuci muka menggunakan seorang bintang filem wanita yang diminati ramai.
Di samping itu, Mesej iklan ialah jika dia menggunakan ubat pencuci mukabaru itu maka kulitnya akan akan kelihatan cantik dan nampak menawan. Dalam contoh iklan ini,emosi memainkan peranan penting. Untuk kelihatan menawan,mesej sebenar yang ingin disampaikan adalah supaya pembeli membeli produk tetapi mainan emosi dijadikan modal pembujukan dalam mesej komunikasi dalam iklan ini.


FUNGSI MENGHIBUR

Dalam menjalani kehidupan, hiburan diperlukan untuk memudahkan penyampaian dan penerimaan maklumat. Oleh itu, ahli pengkaji komunikasi menjadikan fungsi menghibur sebagai fungsi komunikasi. Fungsi menghibur sangat mudah dilihat disekeliling kita. Contoh fungsi menghibur ialah wayang gambar, rancangan hiburan, komik dan lukisan kartun. Pada umumnya, keberkesanan fungsi ini boleh diketahui daripada reaksi orang ramai terhadap sesuatu rancangan hiburan, tayangan wayang gambar, ataupun majalah yang dibacanya. Jika seseorang itu merasa terhibur, boleh dikatakan fungsi menghibur ini telah berjaya.
            Berbeza dengan fungsi komunikasi yang lain, fungsi menghibur ini terlalu umum sifatnya kerana ia tidak mempunyai kriteria khusus untuk menentukan kejayaannya. Ini disebabkan kriteria “terhibur” bukanlah ditentukan oleh penyampai maklumat tetapi lebih ditentukan oleh penerima maklumat itu sendiri. Jika dalam fungsi mendidik, kejayaan pendidik boleh diketahui dengan jelas apabila penerima maklumat faham tentang apa yang disampaikan oleh pendidik. Tetapi kejayaan fungsi menghibur sukar diukur oleh sumber maklumat kerana hanya penerima maklumat itu sendiri yang dapat menentukannya. Pihak sumber mungkin dapat mengetahui kejayaannya dengan bilangan nashkah majalah hiburannya yang terjual, atau berapa ramai penonton yang menonton sesuatu rancangan hiburan.
            Oleh kerana fungsi hiburan ini amat digemari ramai, maka telah ada usaha untuk menerapkan unsur pendidikan, pemberitahuan, dan pembujukan melaluinya. Misalnya, melalui drama akan diselitkan unsur perpaduan untuk mendidik orang ramai tentang pentingnya kita bertolak ansur sesama kita untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang bersatu padu. Begitu juga melalui nyanyian dikir barat telah cuba diselitkan penerangan tentang keindahan sesuatu tempat untuk dilawati oleh pelancong. Selain itu, pihak yang membuat iklan cuba membujuk orang ramai membeli krim pencuci muka dengan membayar penyanyi terkenal untuk memperkenalkan  produk tersebut.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, komunikasi memiliki beberapa fungsi iaitu yang pertama, untuk memberitahu atau menyampaikan. Dalam hal ini komunikasi berfungsi sebagai pemberi dan penyampaian maklumat antara satu pihak ke pihak lain. Fungsi kedua ialah untuk mendidik. Dalam hal ini komunikasi dapat juga berfungsi untuk mendidik masyarakat, contohnya komunikasi antara guru dan murid. Fungsi seterusnya ialah untuk menghibur. Komunikasi juga dapat berfungsi sebagai penghibur. Sebagai contoh, filem yang ditayangkan di televisyen dan panggung wayang.  Fungsi yang terakhir ialah untuk membujuk. Komunikasi juga berfungsi untuk mempengaruhi masyarakat atau individu, contohnya komunikasi politik atau iklan politik.  .
Setelah mengkaji fungsi-fungsi komunikasi,  bolehlah dikatakan bahawa sebenarnya sesuatu proses komunikasi itu tidaklah hanya tertumpu untuk menjalankan satu fungsi semata-mata. Lazimnya sesuatu proses komunikasi itu akan melibatkan beberapa fungsi komunikasi yang digabungkan untuk menghasilkan satu kesan komunikasi yang lebih besar. Sebagai contoh, untuk menarik perhatian penerima, fungsi komunikasi seperti fungsi memberitahu dan fungsi komunikasi mendidik akan digabungkan dengan fungsi yang lebih menarik perhatian penerima seperti fungsi komunikasi menghibur

Justeru itu, kita mestilah bersedia untuk mengenal pasti gabungan fungsi komunikasi yang mana satukah yang akan membawa kejayaan dalam perancangan strategi komunikasi yang akan dilaksanakan.

1 comment: